Bahana Tersalah Faham
Oleh Nor Azlina Idris
Seringkali juga tersalah faham ini terjadi di dalam kehidupan manusia. Banyak kekeliruan yang akan timbul hanya disebabkan perkara ini sehinggakan hampir merenggut kepercayaan terhadap seseorang. Terkadang menimbulkan fitnah yang maha dahsyat. Bukankah ini membawa kebinasaan dalam sesuatu perhubungan? Mengapa ianya terjadi?
Misalannya dalam sebuah keluarga, salah faham diantara suami isteri menyebabkan ada yang tidak bertegur sapa, masam bercuka-cuka, marah berganda-ganda. Jika inilah yang berlaku dimana akan hadirnya sinar bahagia dalam keluarga?
Apakah jalan terbaik yang Islam anjurkan?
Allah Taala telah menyebut didalam kitab suci-Nya :
ان جاءكم فاسق بنبأ فتبينوا
Bermaksud : "Jika seseorang fasik datang kepada kamu membawa satu berita, maka telitilah kebenarannya".
Bermaksud : "Jika seseorang fasik datang kepada kamu membawa satu berita, maka telitilah kebenarannya".
Hakikat ini Allah memberi peringatan bahawa amat perlunya kita menyelidiki apabila sesuatu berita yang sampai ke pendengaran kita, bukan dengan bermudah-mudah kita ambil percaya tanpa usul periksa. Yang pasti tentulah berita itu adalah yang didengar di atas angin, tidak diketahui asalnya. Bukan sahaja tertakluk kepada orang fasik sahaja malahan ia termasuk umat Islam sendiri. Bukankah salah faham diantara umat Islam lebih bahaya kerana akan terputusnya saudara?
Tindakan yang kedua apabila wujudnya salah faham ini adalah dengan meminta penjelasan dari kedua-dua belah pihak. Kemungkinan salah faham itu disebabkan tersalah dengar sehingga timbul kefahaman yang lain. Kemungkinan juga ada yang suka menyampai-nyampaikan berita tanpa diselidiki kesahihan sehingga terjadinya perselisihan. Bukankah ini lebih menjerat dan memakan hati?
Tindakan terakhir apabila sesuatu berita yang kurang enak didengar sampai kepada kita, adalah dengan kita bersangka baik dengan saudara kita. Dia tidak dizalimi dan kita juga tidak menanggung dosa kerana bersangka buruk. Bukankah bersangka buruk ini adalah hasil ketidakpercayaan kita kepada saudara kita. Runtuh sebuah kepercayaan hanya kerana salah faham? Tentunya tidak adil…
Akhirnya berusahalah mencari jalan penyelesaian yang paling terbaik. Hubungkan kembali hubungan yang mulai retak dengan ikatan percaya dan kasih sayang. Bukan mudah untuk menjalinkan hubungan andai percaya kepada saudara sendiri semakin sirna. Mulakan pertalian hidup yang berkat dan bahagia hanya kerana Dia…
0 komen anda disini:
Post a Comment