CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, April 27, 2009

Gilapkan Iman


Gilapkan Iman
Oleh Nor AzlinaBt Idris

Firman Allah Yang Maha Esa saya hayati lama. Tertulis di dalam kitab suci dengan firman-Nya :

كل نفس ذائقة الموت
"Setiap yang hidup pasti akan merasai mati."

Tertancap difikiran ini, bagaimanakah nanti saat terakhir hidup ini? Pabila malaikat Izrail datang menjengah apa yang boleh dihidangkan? Adakah sajian amalan pahala ataukah dosa durjana yang melimpah ruah? Saat itu tidak dapat dibayangkan, keluarga syaitan datang berpusu-pusu, berbondong-bondong sanak saudara menghasut bakal si mati. Tidak berkesudahan helah mereka untuk menyesatkan umat manusia hatta disaat menunggu sakaratulmaut pun masih lagi si syaitan durjana berusaha membunuh kebahagian manusia dunia akhirat.

Sampai satu ketika kita semua akan pergi mengadap Pencipta, cuma kita tidak tahu bila dan dimana kita akan dicabut nyawa. Kecil, besar tua muda semuanya pasti akan mati. Kecil dan muda bukan jaminan hidup lama, dimakan usia dan tua bukan alasan bermudah-mudah dalam amalan. Cuba bertanyakan pada diri bila tibanya ajal kita? Jadi apa yang ditunggu rukuklah dan sujudlah! Tidakkah kita mahu menjadi hamba Allah yang paling cemerlang? Cemerlang ibadat, cemerlang jiwa dari maksiat, cemerlang segala-galanya…Amat payah bukan tetapi tidak mustahil. Lihat sahaja suri teladan yang ditunjukkan oleh jiwa suci Rabiatul Adawiyah dengan katanya :

"Wahai Tuhanku, jika aku menyembah-Mu kerana takut neraka, bakarlah aku di dalam neraka. Jika aku menyembah-Mu kerana mengharap syurga, jangan masukkan aku didalamnya. Tapi, jika aku menyembah-Mu demi Engkau semata, jangan sembunyikan dariku keindahan abadi-Mu."

Teliti pula kalam dari Abu Hazim seorang ahli sufi, jihad ibadatnya tidak mengharap apa-apa balasan dari Allah Taala kerana dia ada menyebut :

" Sungguh aku malu menyembah Allah kerana pahala atau dosa. Aku bukan budak jahat yang jika tidak kerana takut, maka tidak bekerja. Aku bukan buruh jahat, yang jika tidak dibayar, maka tidak bekerja."

Subhanallah, betapa kuat dan tingginya iman meraka, nescaya tidak akan goyah iman mereka umpama gunung memasak bumi dengan pelbagai nikmat yang Allah sediakan. Itulah dinamakan cinta. Cinta hakiki hanya untuk Dia. Sehinggakan seorang penyair melarikkan puisi syahdu :

" Rinduku tiada akhir
Aku meratap-ratap merayu
Jangan tinggalkan daku Tuhan
Aku dambakan kasih-Mu
Izinkan aku menyintai-Mu."

0 komen anda disini:

Berdoalah...

Islamic