Oleh Nor Azlina Bt Idris
انفروا خفافا وثقالا وجهدوا باموالكم وانفسكم فى سبيل الله ذلكم خير لكم ان كنتم تعلمون"”
Bermaksud :”Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan maupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu dijalan Allah. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”.
Tatkala meneliti kalam allah Yang Maha Agung ini dapatlah kita mengambil pelajaran bahawa wajib bagi kita untuk berjihad samada berada dalam keadaan susah mahupun senang. Jihad yang ingin saya fokuskan disini bukanlah jihad melaras senapang bertempur dengan tentera musuh akan tetapi jihad yang dimaksudkan ialah usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai kebaikan yang diredai Allah Taala. Bukan mudah untuk kita benar-benar lumati rasa jihad dalam diri tetapi hakikatnya itu bukanlah alasan yang sengaja ditampal dalam diri.
Terlalu banyak nasihat-nasihat yang Allah wahyukan dalam kitab-Nya sebagai panduan berharga kepada kita selaku hamba. Renungi ayat diatas membuahkan kepada kita bahawa satu daya fikir bahawa Allah Taala menghendakkan hamba-Nya berjuang walau dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara. Sehinggakan terkorban harta dan diri demi agama Islam ini. Usahlah mengatakan sanggup terkorban andai diri tidak cukup betah untuk berkorban. Jika disaringkan kembali, kita begitu kurang untuk memperhambakan diri kerana Allah. Ibadah sunat terkadang teramat payah dikerjakan dan beristiqamah apatah lagi jika membabitkan harta peribadi.
Ayuh kita mengambil pengajaran dari sirah junjungan terdahulu, seorang lelaki yang enggan menyertai Nabi dalam peperangan Tabuk hanya beralasan panas,kebimbangan harta yang perlu dijaga dan anak isteri yang sayang ditinggalkan pergi. Peristiwa ini Allah rakamkan didalam Al-Quran surah At-Taubah ayat 90 :
وجا ء المعذرون من الأعراب ليؤذن لهم وقعد الذين كذبوا الله ورسوله سيصيب اللذين كفروا منهم عذاب اليم
Bermaksud : “Dan diantara orang-orang Arab Badwi datang kepada Nabi mengemukakan alasan agar diberi izin untuk tidak pergi berperang sedangkan orang-orang yang mendustakan Allah dan Rasul-Nya duduk berdiam. Kelak orang-oramng kafir diantara mereka akan ditimpa azab ynag pedih”.
Melihat kadar iman yang naik turun membuatkan keputusan yang diambil tidak secara bijak. Bukan mudah meninggalkan anak isteri yang dikasihi bekemungkinan kembali dengan kemenangan atau kembali dengan gugur dimedan juang. Tetapi itu bukan alasan menolak ganjaran Allah yang maha hebat. Syurga.
Tapisan iman yang terperinci memperlihatkan kepada kita bahawa perlunya pemerkasaan iman yang bukan ‘plastik’ dengan penyakit hati yang berjangkit-jangkit. Sudah Allah katakan bahawa manusia ini mampu untuk memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Malah manusialah selayaknya untuk menggalas bebanan tersebut. Perkara ini Allah wartakan dalam surah Al-Hasyar ayat 21 :
لو انزلنا هذا القرءان على جبل لرأيته خشعا متصدعا من خشية الله وتلك الأمثل نضربها للناس لعلهم يتفكرون
Bermaksud : “Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkab takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia agar mereka berfikir”.
Isi tersirat yang terkandung didalam Al-Quran begitu mendalam untuk dicapai oleh akal manusia begitu berhajatkan penelitian yang sebaiknya daripada manusia. Usah dibuat lewa apa yang telah Allah sampaikan ini kerana diumpamakan gunung yang sedia gah tidak sanggup memikulnya apatah lagi manusia yang serba kekurangan. Tuntasnya sengaja Allah ukirkan perumpamaan ini untuk diingati dan direnungi oleh umat manusia samada sanggup menggalas amanah Islam atau sanggup menjadi orang yang mampu tetapi tidak dapat berbuat apa-apa untuk Islam.
Hayatilah kata seorang penyair di dalam buku ‘Don’t Be Sad’ :
“ Demi umurmu sebagai taruhannya
Dirimu tidak akan dibenci
Selagi engkau bertaqwa dan memiliki rasa takut
Dirimu tidak akan disenangi
Selagi engkau rakus
Kebanyakan rasa takut manusia
Bukanlah dibuat-buat
Dan rasa takut
Tidak akan memberi manfaat sedikit pun”.
Selaku hamba yang berjanji akan menegakkan Islam demi Allah dan Rasul-Nya apakah kita masih lagi berdiam durja menantikan sahaja Islam dapat ditegakkan tanpa keringat peluh dari kita? Di akhirat kelak Allah akan menayang-nayangkan nama kita sebagai orang yang berjihad di jalan-Nya dan memanggil-manggil kita untuk bersua dengan-Nya. Alangkah beruntung dan bertuahnya andainya kita turut sama tersenarai diantara insan yang memperjuangkan agama Islam dimuka bumi ini. Hapuskan bisikan-bisikan syaitan yang menakut-nakutkan kita. Ayuh bangun berjuang!