CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, December 7, 2011

Serikan ibadahmu!!!

Kita selalu diperdengarkan kalimah “ solat itu tiang agama” tetapi adakah kita benar-benar faham maksud di sebaliknya? Mengapa ditamsilkan solat dengan tiang? Kita akui bahawa rumah tidak dapat didirikan tanpa tiang seri sebagai penyokong. Bagaimana pula dengan solat? Solat juga merupakan ‘tiang’ bagi semua ibadah yang lain kerana solat adalah ibadah pertama yang diperintahkan Allah Taala. Sepertimana firman-Nya di dalam surah Al-Alaq ayat 10 yang bermaksud “Seorang hamba apabila dia melaksanakan solat”.

Rumah yang dibina akan sempurna dengan kewujudan cahaya atau sesawang elektrik dan juga air. Tanpanya akan terasa gelaplah dunia kita dan begitu sukar untuk menjalani kehidupan. Begitu juga dengan solat. Solat secara berjemaah akan memberi cahaya kepada iman kita. Solat tanpa berjemaah seolah rumah yang gelap tiada bekalan elektrik mahupun air. Adakah kita mahu solat kita gelap tanpa sinaran cahaya? Allah Taala menggalakkan hamba-Nya untuk solat secara berjemaah. Allah Taala menukilkan di dalam surah An-Nisa ayat 102 yang bermaksud : “ Dan apabila engkau Muhammad berada di tengah-tengah mereka (sahabatmu) lalu engkau hendak melaksanakan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan dari mereka berdiri solat besertamu…”

Ini bermakna solat secara berjemaah merupakan galakan dan sunnah Rasulullah SAW. Adakah kita masih lagi malas dan berkeluh-kesah untuk solat secara berjemaah?
Rahsia solat berjemaah tidak Allah rahsiakan. Allah mengangkat kelebihan solat berjemaah melalui sabda Nabi SAW dan diikuti pula pengikut baginda SAW. Diantaranya :

• Daripada Ibnu Umar r.a , Rasulullah SAW bersabda : “ Solat jemaah lebih utama dari solat bersendirian dengan 27 darjat.” (Riwayat Imam Bukhari)

• Daripada Abu Darda’r.a berkata, aku dengar Rasulullah SAW bersabda : “ Tidaklah ada daripada tiga orang dalam sebuah kampung atau pedalaman yang tidak mendirikan solat kecuali dia akan dikuasai syaitan. Maka, solatlah secara berjemaah. Sesungguhnya serigala memakan kambing yang terpisah dari kawanannya.” (Riwayat Abu Daud)

• Daripada Utsman b Affan r.a katanya, aku dengar Rasulullah SAW bersabda :” Barang siapa yang mendirikan solat isya’ secara berjemaah seolah-olah dia telah mendirikan solat sebahagian malam, dan barang siapa yang mendirikan solat subuh secara berjemaah seolah-seolah dia telah mendirikan solat malam sepenuhnya.” (Riwayat Muslim)

• “Solat seorang lelaki bersama seorang lelaki lebih baik dari solat sendirian, dan solatnya bersama dua orang lelaki lebih baik dari solat dengan seorang lelaki, dan jika dia solat dengan bilangan yang lebih banyak lebih disukai Allah Taala”. (Riwayat Abu Daud :554 dan Nasaie : 843)

Subhanallah, kita lihat begitu banyak kelebihan yang Allah anugerahkan buat hamba-hamba-Nya. Tidakkah kita ingin menikmatii kelebihan itu? Maha Pengasih dan Penyayang Allah Taala, telah disebut di dalam kitab Taqrirat Sadidah kelebihan orang yang solat secara berjemaah iaitu :

*Diselamatkan dari api neraka
*Dihindarkan dari penyakit nifaq
*Diterima solat
*Diampunkan dosa
*Ganjaran pahala yang besar
*Menghapuskan was-was dan terpelihara dari syaitan laknatullah

Para pembaca yang dirahmati Allah, setiap perintah dan galakan yang Allah sarankan melalui kitab-Nya mahupun lidah kekasih-Nya, Rasulullah SAW pasti ada kebaikan yang kembali kepada hamba-Nya, cuma kita selaku hamba kebanyakannya tidak menilai secara baik apa yang telah diperintahkan. Berubahlah! Masih ada masa untuk melakukan perubahan kerana anda adalah umat harapan baginda SAW.





*Rujukan
1-Al-Quranul Karim
2-Nuzhatul Muttaqin syarah riyadul solihin- Dr Mustafa Al-Khin, Dr Mustafa Bugha
3-Tahzib syarah Matan Zubad- Dr Umar Abdullah Kamil
4-Taqrirat sadidah- Zain b Ibrahim b Zain b Sumaidh

Berdoalah...