CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, December 21, 2007

Tika Ini


Lama ku tidak menjengah ke laman rumahku. Lantaran keripuhan yang acapkali mengundang tanpa diduga. Imtihan semakin hampir, kumohon kepada Allah Taala agar diberi kekuatan dalam menempuh gerbangnya nanti. Hari ini sahabatku telah mengikat janji setia. Dia sudah dimiliki orang. Ku mendoakan moga beliau menjadi isteri yang solehah yang bukan sahaja isteri didunia tapi akan menjadi isteri yang menantikan suaminya disyurga kelak. Amin...
InsyAllah, imtihan saya akan bermula pada 6 -15 Januari 2008 doakan kejayaan hakiki buat saya. Ilmu dikaut kejayaan dipaut...

Sayang selasih ditasik madu,
Menanti hari ingin bersatu,
Imtihan datang kekuatan dipadu,
Moga kejayaan menjadi milikku.

Saya akan tawaquf buat seketika sehingga usai imtihan, usah ada rindu dihati nanti saya tak menentu. Andainya hadir jua rindu itu hadiahkan saya sequdus doa suci...


Friday, December 7, 2007

Ambang 2008

Menjelang ambang 2008, sesuatu yang pasti berlaku : semusim imtihan. Fasa ini ada empat madah yang perlu saya hadami, lumati dan ingati selamanya-Nahu Sorof, Qodhoya, Tauhid dan Tafsir.
Sikit tapi mencabar. Tiada lagi pilih-pilih madah semuanya perlu saya ihtimamkan.
Buat sahabat-sahabat,
bersama kita raih kejayaan
tiada kata lemah dan kalah
buangkan perasaan yang mengganggu
hanya kita genggam
KEJAYAAN!
Sertakan solat sunat berpanjangan
dan doa tak pernah putus
ingat harapan ayahanda bonda
Ayuh kita canangkan impian itu!

Allahumma sahhilna ya Rabbi...Amin

Monday, December 3, 2007


Tika hadirnya gerbang imtihan
hati dipagut resah
resah persediaan diri
gelisah kemampuan hati
kenangan lalu
begitu mendalam dirasai
kejap memoir itu
namun
aku mesti bersemangat
wajib hapuskan gundah itu
usah hancurkan harapan
yang dianyam
yang pasti
titipkan semangat
biar berdesir dilaman hati
berpusar diakal sendiri
jangan putus berharap
ku pasti
pasti...
pastikan berjaya
dan kau sahabat
mari maju bersamaku
kita raih kejayaan bersama
amin ya Rabb

Tuesday, November 27, 2007

rindu datang lagi

Kadangkala bila rindu datang bertamu
Resah menanti dihujung rasa
Berfikir kemana ia akan pergi
Mahu disandarkan pada siapa
Acapkali kali beratnya rindu
pasti airmata menjadi teman
Rindu sukar untuk diterjemahkan
Tapi hati begitu memahami
Betapa dalam rindu itu
Pujuklah iman
Sandarkan rindu itu pada Allah
Pasti akan temui rindu yang dinanti



Thursday, November 22, 2007

fahami dengan hati dalami fikir


Hati ini berbicara
Apa mahumu?
Hati berdetik
Apa hala tujumu
Esok entahkan ada untukku
Impian yang panjang selalu berirama
Berdesir kuat didasar hati
Bernyanyi asah semangat
Bina tugu cita dan cinta
Cekalkan hati nurani
Lestarikan impian itu
Moga harapan bersinar cerlang.



KITA HARUS BELAJAR
Kita harus belajar dari kekecewaan
Kita bangkit dari kegagalan
Kita harus memahami kejatuhan kita
Bukan beerti matinya semangat
Berkubur keyakinan begitu sahaja
Tapi...
Daripada rebahnya sekeping hati
Akan bangkit seorang insan
Mengangkat martabat maruahnya
Menjulang kembali kekuatannya
Menggegar kembali jeritan laungan
Kejayaan serta kemegahan diri
Sebagai tanda bahawa
Setiap yang jatuh dan rebah itu
Bukan tersungkur mati
Malah kehidupan berselimut kelesuan
Akan menjadi jaring perkasa
Dan menyerkup kembali dunia baru
Dan pada masa itu
Kita adalah merupakan seorang insan
Paling bertuah dibumi
Tempat kaki berpijak dan berjunjung
Kita harus mengambil iktibar
Bahawa kekecewaan dan kegagalan
Bila dipintal mulia akan menjadi ratu

p/s : Terima kasih buat Jordan 98 atas 'kita harus belajar'. Walau kita tak pernah bertemu dan mengenali tapi penamu mengasah semangatku.Syukran jazilan


Simbol kejayan diri sendiri

Tuesday, November 20, 2007

tinta hati

Alhamdulillah, setelah sekian lama saya menyepi kini saya kembali. Kembali dengan semangat tegar, kembali dengan harapan baru!
Pengalaman pulang malaysia sememangnya sesuatu yang membahagiakan. Bertemu dengan insan tersayang, yang banyak berkorban untuk diri ini dan yang pasti menemui cinta yang dicari.
Terlalu banyak perubahan di desa yang ditinggalkan, orang tua semakin berusia, anak-anak yang semakin membesar sehinggakan saya tidak dapat mengecam anak buah sendiri. Begitu pantas masa berlalu.
Satu perkara yang tertinggal dihati saya: Sebagaimana kita mengasihi anak-anak, begitu jugalah kasih sayang ibu bapa kepada kita malah lebih dari itu lagi. Kasih itu perlu dipugar! Jadi kasihilah sebulatnya ibu bapa selagi kita masih bernyawa...

Monday, June 25, 2007

lensa seminit

Lagi seminggu saya akan berlepas ke malaysia-pulang bercuti. Rasa tak percaya, gembira, takut, sedih dan berdebar-debar menjadi bersatu.
Kenapa ya ada rasa begini? Sebab sudah hampir tiga tahun saya menetap di bumi Anbiya' ni. Walaupun ada insan lain yang lebih lama disini dari saya tapi hakikatnya itulah yang saya rasa.

Jika difikirkan tiga tahun bukanlah waktu yang terlalu lama tetapi ia memang paling lama bagi orang yang merindu. Saya rindukan semuanya. Saya nak tebus balik silap dan salah saya.

Jika dikatakan orang yang paling payah terima teguran ibu bapa sayalah orangnya, jika dikatakan orang yang paling suka hiburan saya jugalah orangnya dan jika dikatakan orang yang cemburu dengan adik-beradik saya jualah orangnya. Oh,zaman jahiliyah saya memang teruk dan membosankan.

Di sini sememangnya bumi tarbiah. Saya mohon pada Allah agar didik hati saya. Itu doa yang selalu saya pohonkan. Hari ini kita mungkin menjadi baik tapi esok lusa kita tidak tahu. Takut kalau Allah balikkan hati kita. Nauzubillah...

Mohonlah doa nescaya Allah akan perkenankan. Yakinlah doa yang bersungguh-sungguh dari seorang hamba pasti akan diterima-Nya.

Friday, June 22, 2007

baca dengan minda sihat

Mungkin jika diimbau kembali pada tahun 2002, Menteri Pembangunan Wanita telah menyusulkan didalam kabinet bahawa pendidikan seks menjadi silibus sekolah rendah. Ternyata usulan ini telah diluluskan pada awal tahun ini.
Sahabat-sahabat fikir sendiri bagaimana pendidikan seks ini?
Dan saya amat yakin kita yang remaja dan dewasa ini teramat faham pendidikan seks. Yang menjadi kesedihannya ia diajar mengikut peringkat umur tidak terkecuali kanak-kanak kecil. Pendidikan itu belum lagi mencapai tahap umur mereka.
Agak-agaknya apa yang kanak-kanak kecil itu fikirkan setelah mempelajarinya? Sudah pasti kanak-kanak itu akan mencuba. Kanak-kanak yang meningkat remaja ada rasa ingin mencuba. Jadi disinilah bermulanya gejala sosial yang dicipta sendiri oleh orang berautoriti. Sememangnya mereka menempah padah.

Nah,anak gadis telah dinoda samaada rela atau terpaksa dan anak terunanya menjadi rakus. Kemudian akan lahir bayi tanpa dosa dibuang merata-rata. Si Ibu tanpa belas kasih mencampak bayi tersebut dalam tong sampah, lubang tandas,belukar dan dimana sahaja. Ini sudah lari dari fitrah seorang manusia.
Kaum Hawa diciptakan dengan roh kasih sayang,namun kasih sayang ini terluput bila terjadi perkara seumpama ini. Dan bala Allah pun datang bertimpa-timpa bukan sahaja kepada mereka yang melakukan bahkan kepada semua. Ini yang membimbangkan.

Apa yang dilaksanakan tidak mengikut lunas-lunas Islam hanya mengikut pemikiran yang jauh dari norma-norma Islam.
Apabila para ulama bersuara,ulama dikatakan kolot,tidak mengikut arus zaman dan bermacam lagi.
Butakah mereka siapa ulama' itu?Bukankah ulama' adalah orang yang terlebih tahu tentang Islam. Siapa mereka nak menentang? Bukankah Nabi mengatakan bahawa ulama' adalah pewaris para Nabi.
Oh,rupanya ramai yang bermata buta padahal celik dialam nyata.

Wahai Rasulullah, lihatlah umatmu akhir zaman ini,pastinya engkau bersedih dialam sana mengetahui telingkah umatmu...

Tuesday, June 19, 2007

luahan hati untukku

Namamu menjadi sebutan
Oleh itu hargailah pengorbanan ibu bapamu
Renungilah sejenak betapa kasihnya ibubapamu

Anggaplah ibu bapamu berada disisi
Zikir menjadi saudara-saudaramu
Langit dikau junjung bumi dikau pijak
Iman jua menjadi benteng untuk bergerak
Namun begitu janganlah dikau lupakan
Asal usul dirimu

Bangganya ibu bapamu tidak terkira
Impian ibu bapamu mesti dijaga
Nasihat ibu bapamu menjadi panduan
Tentu hidupmu selamat sejahtera
Itulah yang diharapkan oleh kami semua

Itulah impian dan igaun ibubapa
Dalam ingatan wajahmu terbayang
Rajinlah doakan kesejahteraan dan kebahagiaan
InsyAllah impian menjadi kenyataan
Salam sayang menjadi teman kerinduaan

Anggaplah coretan ini
Cuma satu teguran
Ingatkan yang positif
Kejayaan milikmu jua akhirnya


p/s : Nukilan ini ditulis dengan hati. Hampir lonyai kertas ini kutatap. Biar lonyai asalkan isinya kejab dihati. Orang tersayang yang berikan mana mungkin disimpan sepi.
-Jika diteliti insyAllah akan tahu siapa saya-

Friday, June 15, 2007

Apa nak jadi?

Saya diamuk perasaan sendiri. Menangis dalam hati. Terkilan sungguh!
Lewat pembacaan saya perihal seorang artis perempuan yang membotakkan kepala semata-mata kerana lakonannya (lihat filem muallaf). Saya tahu kalian sudah tahu siapa gerangannya,tapi saya malu untuk menyatakan siapakah dia. Dia perempuan saya pun perempuan. Sungguh-sungguh malu.

Sudahlah berdosa kerana membuka auratnya kini perbuatannya itu menyerupai lelaki. Penyakit apa ini? Kiamat sudah dekat, artis semakin dipuja, digilai sedangkan ulama dihina dicaci...Astagfirullahalazim.

Saya tidak mahu menyentuh soal filem kerana filem yang ada sekarang ini semuanya melanggar syariat Islam. Paling sedih sekali soal aqidah pun turut terjebak sama. Ya Allah bantulah kami ini...

Wahai umat Islam, bangunlah tegakkan Islam! Siapakah yang akan membangunkan Islam kalau bukan umat Islam sendiri. TAPI bukan umat Islam yang ceroi.(Islam hanya pada nama bukan Islam yang sebenarnya).

Ayuh, bersama mengislamkan media!

Monday, June 11, 2007

usai imtihan

Alhamdulillah saya dah habis imtihan. Hati ni membuak-buak nak mencoret lensa. Lama sungguh saya bercuti kini bolehlah saya 'bekerja' kembali.
Ogos yang akan bertandang adalah bulan yang digeruni disini-natijah akan keluar. Hem! berdebar sungguh saya. sukar nak khabarkan bagaimana rasa ni...Allah saja yang tahu.
Apapun doakan saya dapat mengungguli kejayaan.


P/s : Awak...Tak ingat tak pe tapi jangan lupa :)

Thursday, April 26, 2007

pertarungan yang bukan sedikit!

Hati ini sungguh tak keruan.
Imtihan semakin dekat menghampiri. Kitab belum habis dihadam selumatnya, ilmu didada masih belum diproses serancaknya.
mungkin saya akan bersunyi seketika melayan tetamu imtihan yang akan mendatang.
Saya perlu membuat persiapan sebaiknya kerana ini peluang terakhir saya. Saya mohon pada Allah moga permudahkan jalan usaha dan kejayaan saya. Saya juga mengharapkan doa kalian untuk saya.
Doakan Allah beri kekuatan dan keyakinan dalam menempuh kunjungan bebayang imtihan ini.
Doakan saya tak futur dan terus leka.
Doakan yang terbaik buat saya.
Amin!.

Friday, April 20, 2007

kisah Nabi kita

Jika harta yang hilang dari diri seseorang, maka tiada apa pun yang hilang,
Jika kesihatan yang hilang dari diri seseorang, maka ada sesuatu yang hilang,
Tetapi jika akhlak yang hilang dari diri seseorang, maka segala-galanya telah hilang dari diri seseorang.

"Dikisahkan, bahawasanya di waktu Rasulullah s.a.w. sedang asyik bertawaf di Ka'bah, beliau mendengar seseorang di hadapannya bertawaf, sambil berzikir:
"Ya Karim! Ya Karim!"

Rasulullah s.a.w. menirunya membaca:
"Ya Karim! Ya Karim!"

Orang itu lalu berhenti di salah satu sudut Ka'bah, dan berzikir lagi:
"Ya Karim! Ya Karim!"

Rasulullah s.a.w. yang berada di belakangnya mengikut zikirnya
"Ya Karim! Ya Karim!"

Merasa seperti diolok-olokkan, orang itu menoleh ke belakang dan terlihat olehnya seorang laki-laki yang gagah, lagi tampan yang belum pernah dikenalinya.

Orang itu lalu berkata:
"Wahai orang tampan! Apakah engkau memang sengaja memperolok-olokkanku, kerana aku ini adalah orang Arab badwi? Kalaulah bukan kerana ketampananmu dan kegagahanmu, pasti engkau akan aku laporkan kepada kekasihku, Muhammad Rasulullah."

Mendengar kata-kata orang badwi itu, Rasulullah s.a.w. tersenyum,
lalu bertanya:
"Tidakkah engkau mengenali Nabimu, wahai orang Arab?"

"Belum," jawab orang itu.

"Jadi bagaimana kau beriman kepadanya?"

"Saya percaya dengan mantap atas kenabiannya, sekalipun saya belum pernah melihatnya, dan membenarkan perutusannya, sekalipun saya belum pernah bertemu dengannya," kata orang Arab badwi itu pula.
Rasulullah s.a.w. pun berkata kepadanya:

"Wahai orang Arab! Ketahuilah aku inilah Nabimu di dunia dan penolongmu nanti di akhirat!"

Melihat Nabi di hadapannya, dia tercengang, seperti tidak percaya kepada dirinya.

"Tuan ini Nabi Muhammad?!"

"Ya" jawab Nabi s.a.w.

Dia segera tunduk untuk mencium kedua kaki Rasulullah s.a.w. Melihat hal itu, Rasulullah s.a.w. menarik tubuh orang Arab itu, seraya berkata kepadanya:

"Wahal orang Arab! Janganlah berbuat serupa itu. Perbuatan serupa itu biasanya dilakukan oleh hamba sahaya kepada tuannya. Ketahuilah, Allah mengutusku bukan untuk menjadi seorang yang takabbur yang meminta dihormati, atau diagungkan, tetapi demi membawa berita gembira bagi orang yang beriman, dan membawa berita menakutkan bagi yang mengingkarinya."

Ketika itulah, Malaikat Jibril a.s. turun membawa berita dari langit
dia berkata:

"Ya Muhammad! Tuhan As-Salam mengucapkan salam kepadamu
dan bersabda:

"Katakanlah kepada orang Arab itu, agar dia tidak terpesona dengan belas kasih Allah. Ketahuilah bahawa Allah akan menghisabnya di hari Mahsyar nanti, akan menimbang semua amalannya, baik yang kecil mahupun yang besar!"

Setelah menyampaikan berita itu, Jibril kemudian pergi.
Maka orang Arab itu pula berkata:

"Demi keagungan serta kemuliaan Tuhan, jika Tuhan akan membuat perhitungan atas amalan hamba, maka hamba pun akan membuat perhitungan dengannya!" kata orang Arab badwi itu.

"Apakah yang akan engkau perhitungkan dengan Tuhan?" Rasulullah bertanya kepadanya.

"Jika Tuhan akan memperhitungkan dosa-dosa hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa kebesaran maghfirahnya"jawab orang itu.

'Jika Dia memperhitungkan kemaksiatan hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa keluasan pengampunan-Nya. Jika Dia memperhitungkan kekikiran hamba, maka hamba akan memperhitungkan pula betapa kedermawanannya!'

Mendengar ucapan orang Arab badwi itu, maka Rasulullah s.a.w. pun menangis mengingatkan betapa benarnya kata-kata orang Arab badwi itu, air mata beliau meleleh membasahi janggutnya.

Lantaran itu Malaikat Jibril turun lagi seraya berkata:

"Ya Muhammad! Tuhan As-Salam menyampaikan salam kepadamu,
dan bersabda:
Berhentilah engkau dari menangis! Sesungguhnya kerana tangismu, penjaga Arasy lupa dari bacaan tasbih dan tahmidnya, sehingga la bergoncang.

Katakan kepada temanmu itu, bahawa Allah tidak akan menghisab dirinya, juga tidak akan memperhitungkan kemaksiatannya.

Allah sudah mengampuni semua kesalahannya dan la akan menjadi temanmu di syurga nanti!"

Betapa sukanya orang Arab badwi itu, apabila mendengar berita tersebut. la lalu menangis kerana tidak berdaya menahan keharuan dirinya. "


Ya Rasulullah
Umatmu ini selalu lupa

Ya Rasulullah
Umatmu ini sengaja tak ingat

Umatmu ini sering beralasan
Umatmu ini acap mencari helah
Umatmu...
Segala macam umatmu

Bagaimana kami nak mendapat syafaatmu nanti.
Ya Rasulullah
Allahumma solli a'la Muhammad wa a'laihi wassalam

Wednesday, April 18, 2007

Cinta itu bagaimana...

Bila disoal tentang cinta, pastinya hati sukar untuk menafsirkan perasaan 'cinta' ini. Kadang-kadang perasaan itu bagaikan angin yang bertiup lembut dan santai dan adakalanya ia bagaikan badai yang galak menghempas pantai.Benarkah begitu? Saya pun tak mengerti kerana kurang mengalami.

Rata-rata belia yang berumur belasan tahun sudah berpengalaman dalam cinta malahan anak-anak kecil yang berumur 11 dan keatas dah tahu bercinta!

Cinta yang saya maksudkan disini ialah cinta dikalangan lelaki dan perempuan.
Cinta kepada Allah dan rasul-Nya sewajibnya kerana kita selaku hamba.
Cinta kepada ibu bapa sewajarnya kerana kita selaku anak.
Cinta kepada sahabat seperlunya kerana kita selaku muslim.
Cinta kepada pasangan seeloknya kerana kita mempunyai perasaan-kita dilahirkan secara fitrah untuk saling mengasihi antara lelaki dan perempuan TETAPI mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh Allah Taala.



Jadi cinta kepada pasangan ini adakah melebihi dari cinta yang telah disebutkan?

Friday, April 13, 2007

Lirik

Kesenangan yang datang
Takkan selamanya
Begitulah selepas susah
Ada kesenangan
Seperti selepas malam datangnya siang
Oleh itu waktu senang jangan lupa daratan
Gunakan kesempatan
Untuk kebaikan
Sebelum segalanya terlepas dari genggaman
Kelak menyesal nanti
Tak berkesudahan
Apa gunanya sesalan hanya menekan jiwa
Jangan difikir derita akan berpanjangan
Kelak akan membawa putus asa pada Tuhan
Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu
Pastinya cerah kembali
Ujian adalah tarbiah dari Allah
Apakah kita akan sabar
Ataupun sebaliknya
Kesenangan yang datang selepas kesusahan
Semuanya adalah nikmat dari Tuhan

Petikan ini saya ambil dari sebuah nasyid. Cuba hayati liriknya. Bila saya rasa 'ada yang tak kena pada hati' saya selalu mengalunkan bait-bait ini. Namun Al-Quran jua penyejuk hati.

Wednesday, April 11, 2007

Ikhtilat

Ikhtilat...
Ramai yang tak tahu apa itu ikhtilat dan tanpa disedari ada dikalangan kita yang melakukan perbuatan tersebut.

Ikhtilat berasal dari kalimah kholato iaitu bercampur, jadi maksud ikhtilat ialah percampuran diantara lelaki dan perempuan.
Ikhtilat terbahagi kepada dua iaitu ikhtilat syar'ei dan ikhtilat bukan syar'ei. Ikhtilat syar'ei diharuskan oleh Islam dan ikhtilat bukan syar'ei diharamkan oleh Islam.

Apa kategori ikhtilat syar'ei dan ikhtilat bukan syar'ei? Adakah kita pernah termasuk dalam ikhtilat bukan syar'ei?
Jawapannya nantikan entri seterusnya...

Sunday, April 8, 2007

SuRat DaRi HaTi

Mangsi dari hati menguja minda saya.
Antara keperluan dan kehendak yang perlu didahulu pentingkan.Tambahan lagi kini qarib dengan imtihan yang bakal menjelang sebulan lagi. Saya begitu gentar.
Keyakinan selalu dipugar sentiasa, moga saya tidak lemah.
Bonda acapkali menasihatkan
'usaha bersungguh-sungguh, jangan lupa qiamulail'.
Ayah juga kerap berpesan
'rajin-rajin baca buku,buat yang terbaik'.
Saya tahu saya perlu begitu malahan lebih lagi. Tiada lafaz yang mampu saya ucapkan. Pengobanan mak ayah terlalu besar, malah lebih besar dari 'besar'. Saya akan marah kalau ada adik-beradik saya yang tak menghargai kasih mereka. Itu terlalu melampau!. Saya miskin secara realiti pandangan mereka,namun saya tahu mereka sentiasa sayangkan saya.
Dulu diri ini pernah jatuh, terjelepok dan amat payah untuk bangun.
Berkat doa dan nasihat inspirasi hati ayah dan mak serta sahabat, saya bangun.
Dan kini perasaan itu datang lagi. Saya tak mahu tersungkur lagi dalam susah yang saya cari. Saya mohon pada Allah agar beri saya kekuatan, semangat untuk terus maju.
Saya ingat pesan mak 'kejayaan dan kegagalan itu milik Allah jadi mohonlah pada Dia.
Syukur saya miliki mak yang memahami dan ayah waja hatinya.
Saya akan menangis bila mengingati mak dan ayah.
Saya rindu. Sungguh!
Mak, Ayah doakan saya...

Friday, April 6, 2007

diriku

Diriku
hari-hari perlu diingatkan
berulang kali dipesan
acapkali berkumandang
semarakkan semangatmu
walaupun kadangkala
mungkin kecundang
namun itu bukan alasan
mencari sesalan

Diriku
jangan nanti-nanti
masa tak akan menunggumu
bahkan ia akan terus berlari
kau yang perlu mengejarnya
sampai bila
harus ditunggu
bangunkan dirimu...

BARU!
Seusai tadi saya mengadap buletin. Mungkin saya yang tertinggal tapi ia berlaku awal April ini. The Star menyiarkan berita mohon supaya memecatkan mufti Perak Sohibul Samahah Datuk Hj Harussani Hj Zakaria diatas sebab-sebab suara lantang beliau menyatakan kebenaran. Antaranya tentang kes murtad, pembaptisan oleh Dato' Azhar Mansor dan ada kes lain lagi. Gejala apa ini? Pelik saya memikirkan. Sebetulnya orang yang ingin menegakkan kebenaran dimuliakan tetapi ini sudah terbalik. Orang yang menjulang agama dihentam, ditohmah dan dikenakan pelbagai sekatan. Adakah ini petanda kecil dunia akhir zaman? Ya, itu jawapan saya. Diakhir nanti Islam pasti akan berada ditempatnya yang tertinggi dan Allah pasti akan bertanya apakah ada yang kita lakukan untuk menaikkan Islam?. Fikir-fikirkanlah

Friday, March 30, 2007

EsOk

ESOK merupakan satu tarikh yang tak mungkin kita lupakan, 12 Rabiul awal. Selaku umatnya apa yang telah kita lakukan untuk baginda. Sedangkan baginda walau dipenghujung nyawa tetap mengingati kita, jadi bagaimana kita?

Telah diriwayatkan drpd Aisyah bhw dia telah berkata :" Sedang aku menjahit baju pada waktu sahur ( sebelum subuh ) maka jatuhlah jarum daripada tanganku, tiba-tiba kebetulan lampu pun padam, lalu masuklah Rasulullah s.a.w. Ketika itu juga aku dapat mengutip jarum itu kerana cahaya wajahnya, lalu aku berkata, " Hai Rasulullah, alangkah bercahayanya wajahmu! Seterusnya aku bertanya : "Siapakah yang tidak akan melihatmu pada hari qiamat?" Jawab Rasulullah : " Orang yang bakhil." Aku bertanya lagi : " Siapakah orang yang bakhil?" Jawab baginda : " Orang yang ketika disebut namaku di depannya, dia tidak mengucap selawat ke atasku." Maka sahabat2 semua banyakkan selawat ke atas Rasulullah.. bersempena dengan ketibaan hari kelahiran baginda marilah kita sama2 memperbanyakan berselawat...semoga memperoleh SYAFAAT.


********88888*********

PAGI ini diri tak sesegar semalam
kerna lewat pagi lelapkan mata
diri tak betah meninggalkan sahabat sendirian
dia perlu laksanakan amanah
menemaninya menerbitkan satu rasa
terjalin satu tautan
biarpun hanya sebaris kata
mungkin tidak membuahkan apa-apa
tapi ku yakin ada sesuatu dihatinya dan hatiku
moga Allah memberkati hubungan ini
dan bertambah mekar dan segar
sahabat
sama senang dalam susah
sama perit dalam bahagia

~~~~~~~~~~~~~~~****************~~~~~~~~~~~~~~~~


Menekur insaf dilaman hati
jarang sekali menemani
paksa walau jerih
munasabah sendiri
kenapa diri ini
iman jawab sendiri

Monday, March 26, 2007

RASULULLAH

Jauhnya kita dari Rasulullah. Kita tidak hidup dizamannya dan baginda bukan hidup dizaman kita...Lalu bagaimana kita? Hayatilah kisah ini...

Detik-detikRasulullah SAW Menghadapi Sakaratul Maut.
Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya.
Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning,burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah, "Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya.

Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Ku wariskan dua perkara pada kalian, Al-Qur'an dan sunnahku.
"Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.

Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, dada Umar naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam.
Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.
"Rasulullah akan meninggalkan kita semua,"keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia.

Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.
Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berserumengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk.
"Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah.
"Siapakah itu wahai anakku?"
"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.
Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.
"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut," kata Rasulullah.
Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya.
Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.
"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.
"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu, "kata Jibril.
Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanyamasih penuh kecemasan.
"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" TanyaJibril lagi.
"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"
"Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Ku haramkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.
Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.
"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.
"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" TanyaRasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.
"Siapakah yang sanggup,melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril. Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.
"Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut inikepadaku, jangan pada umatku. "
Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya
"Uushiikum bisshalati, wamaa malakat aimanuku", peliharalah shalat dan peliharalahorang-orang lemah di antaramu."
Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan diwajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullahyang mulai kebiruan.
"Ummatii, ummatii, ummatiii?" - "Umatku, umatku,umatku"
Dan berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu.

*Amat malang andainya ada yang tidak mengalirkan airmata setelah membaca citra ini. Apa yang telah kita lakukan untuk Rasulullah? Fikir-fikirkanlah!

Tuesday, March 20, 2007

Terasa bila...

KITA akan terasa bahangnya bilamana diri kita dipertikaikan dan dicop dengan sebarang nama yang kurang sesuai diletakkan pada pendengaran. Tambahan pula ia datang dari kalangan orang yang kita tidak sangka-sangka. Walaupun ada yang melakukan seperti yang diperkatakan namun ia telah menilakan sebelanga susu.

Usai saya berbicara dengan mahasiswa negara lain(selain Mesir) mengenai pandangannya tentang pelajar lepasan Al-Azhar, saya sedih amat sangat. Walaupun saya dapat menjangkakan itu yang akan dilontarkan kepada produk azhar, namun jiwa saya meronta-ronta tidak mahu menerima kalam itu. Saya hormati pandangannya tentang kita. Ya, Kita mahu dan perlu berubah! Sesuatu yang boleh kita fikirkan bersama dari kalamnya:

~Mantapkan ilmu usul
~Menjawab persoalan dengan penuh akedemik bukan semata emosi
~Kita perlu mengkritik dengan ilmu
~Sediakan hujah bg menguatkan penyampaian

Gunakan wacana pemikiran dan kesempatan waktu dibumi para Nabi ini bagi menatijahkan sesuatu yang amat berguna untuk kita menghadapi kecelaruan yang banyak berlaku di negara Malaysia.

Sunday, March 18, 2007

SiBukkAh kiTa?

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna pernah mengatakan :
"Alwajibat akthar minal auqat"
~bermaksud kewajipan itu lebih banyak dari waktu yang ada~

Sememangnya kewajipan yang terpundak keatas kita terlalu banyak. Adakalanya ada amanah yang kita galas tak sempurna kita tunaikan malahan amanah itu terlepas pandang dari kita. Itu kita yang Allah hanya lemparkan secebis tanggungjawab untuk hamba-Nya.

Renungi pula kewajipan yang terpundak keatas junjungan besar Nabi kita, Nabi Muhammad Salallahualaihiwassalam. Bagaimana baginda sebagai pemimpin bagi seluruh umat melunaskan amanah. Dalam kesibukan berdakwah, menyelesaikan masalah umat dan sebagainya baginda masih ada ruang waktu untuk bermunajat kepada Allah dimalam hari tanpa rasa culas. Baginda yang Allah janjikan syurga bersungguh-sungguh beribadat sedangkan kita yang baru diberikan dua atau tiga amanah, sentiasa melakukan dosa sudah goyah dalam beribadat apatah lagi amalan-amalan sunat. Bagaimana ini?

Ya Rasulullah,
ampunkan dosa umatmu yang leka ini
maafkan kami yang lalai ini
tentunya engkau terlalu sedih
bila mengetahui
teruknya sifat umatmu
tentunya engkau terlalu malu
kami ini adalah umatmu

Ya Rasulullah,
Seandainya engkau masih hidup dizaman ini
alangkah....


*** ~~~***~~~***~~~***~~~

Baru-baru ini kita diwartakan oleh pernyataan Dr Asri Zainal Abidin iaitu larangan orang bukan Islam yang memeluk agama Islam daripada menukarkan nama mereka berbin atau berbinti Abdullah dan mereka wajib mengekalkan nama bapa dan keturunan mereka.

Saya bawakan persoalan ini untuk sama-sama kita fikir dalamkan.
*Islam menggalakkan kita menamakan anak dengan nama yang baik jadi bagaimana seandainya nama itu diletakkan dengan nama Sami Bin Mutu apa maknanya?*

Thursday, March 15, 2007

hati...

Bagaimana hati ini?
liat menerima kenyataan
sukar membuat perubahan
iman bagaimana?
dapat membelakah kata hati
dapat menongkahkah fitnah hati
Hati ini terlalu degil
terlalu!
malah membuatkan mata menangis
saban hari...
berapa kali iman memberi nasihat
hati akur walau payah
detik lain
hati bual hal lagi
iman tak putus harap
berperanglah iman dan hati
fikiran tak menentu
bercelaru!
buntu!
dimana kekuatan diri...

P/s: Lihat tingkah iman dan hati. Iman sering bertambah dan berkurang. Hati pula dalam genggaman Tuhan namun atas iman yang ada. Kadang-kadang hati jahat kerana iman yang menipis dan kerana akal yang sempit lagi menyempitkan.

Monday, March 12, 2007

Bingkisan kasih...

Tika detik merangkak zulmat malam,mata ini masih tidak mampu lelap walaupun sekejap cuma. Berkelip-kelip mata bersoal jawab dengan sang hati, memoir dahulu berselingkit dibenak nubari akal. Segala pahit manis tangis bersilih ganti mewarnai kenangan dilayar hati. Hati ini teringat insan yang bermakna dalam lembaran hidupku...

Ibu ayah,
Teringat aku tika bersama kalian. Sungguh aku katakan kini aku menyesal kerana tindakan aku yang dahulu. Aku jahil kasih sayang kalian. Aku pekakkan pandangan jua pendapat tua kalian dan aku butakan mata akan penat jerih lirih kalian.
Pernah bibir ini mengeluh meratapi qanaahnya hidup kita. Diri ini mahu mewah,atma ini mahu kaya, nafsu ini mahu selesa lantaran acapkali sempitnya hidup kita. Nafsu mudaku bercempera mahu lari dari pawana ini. Nyata tindakanku mahu hidup dengan hasil titik peluh sendiri mendapat tentangan hebat darimu ayah."Katamu aku masih mampu untuk menyara hidupmu".

Aku sedih lantas terluka. Tidak tahukah kau ayah aku ingin berdikari sepertimana sahabat-sahabatku yang lain. Sebagaimana mereka merasai kenikmatan aku juga ingin menumpang rasa. Mata ibu menceritakan segalanya. Hati kecilmu sukar menerima bahawa anakmu ini sudah pandai berfikir sudah bijak melawan kata.

Ibu ayah,
Aku memendam rasa hatiku. Setiap suruhan yang diamanahkan kepadaku tidak menyapa keikhlasanku. Maafkan aku ibu ayah. Aku tuli dengan pengorbanan kalian selama ini, kerana kedegilan jiwa nihilku adakalanya aku malas menyahut panggilan kalian.
Seringkali juga aku mengeluh 'uhh' malahan lebih dari itu kerana kejahilanku. Sedangkan aku tahu bahawa Allah telah berfirman yang bermaksud : "Janganlah sekali-kali kamu mengatakan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia".
Kini setelah berada berjauhan dengan kalian baru ku sedar diri ini terlalu bersalah terhadap kalian.Begitu besar dan bernilai kasih kalian. Segala keperluanku tak pernah dihampakan, segala keinginanku tak pernah dikecewakan cuma aku yang tak mengenal erti syukur.

Ibu ayah,
Ampunkan segala ketelanjuran anak kalian yang seorang ini. Maafkan juga tindakan yang terlalu banyak menyedihkan malah melukakan hati qudus kalian. Walaupun maafku kalian sambut namun kutahu pengorbanan kalian tidak akan dapat kubalas hingga akhir nyawaku.
Setiap titis keringat peluhmu ayah, ku mohon agar Allah mengampunkan dosa-dosamu. Setiap titis air susumu bonda yang mengalir menjadi darah dalam tubuhku, keperitanmu melahirkan aku dan sehinggalah berakhir denyutan nafasku kudoakan pahala isteri solehah buatmu. Walaupun kutahu walau seisi dunia ini ku berikan ianya tidak akan mampu kubalas kesusahanmu ibu.
Aku bagaikan baru tersedar, aku hanya mempunyai seorang ayah dan seorang ibu. Tiada kalian tiadalah yang kedua dan yang pasti tidak akan ada galang gantinya buat selama-lamanya hingga akhir dunia!


p/s : Moga citra ini berbekas iktibar dihati. Bukan mudah untuk menjadi insan solehah ia perlukan mujahadah yang tidak boleh digugah.

PeRibaDi PiDatO

Kemahiran berpidato merupakan satu bakat yang boleh dicari gali. Apatah lagi seorang mahasiswa perlu melahirkan bakat ini. Disini saya sertakan peribadi pidato yang dinukilkan hasil dari bengkel yang dibuat oleh Us Mohd Asri Mat Daud :

~Jenis-jenis ucapan
1) Ucapan berdasarkan misi dan visi
* Ucapan informatif sebagai meyampaikan maklumat dan iklan.
* Ucapan bertujuan memberi peringatan dan mengubah kepercayaan sikap serta perlakuan audien.
* Ucapan yang mempunyai tujuan spesifik dan hanya diadakan dalam majlis khas.

2) Ucapan berdasarkan cara penyampaian
* Ucapan hasil dari hafalan teks atau manuskrip.
* Ucapan hasil dari latihan pidato dengan membawakan isi-isi penting mengikut kepakaran pemidato.

~Kaedah-pidato berkesan
* Mengumpulkan fakta dan bahan-bahan sebelum berpidato.
* Menggariskan isi-isi penting atau tajuk-tajuk dalam pidato
* Menyusun bahan dan fakta tersebut mengikut isi-isi penting.
* Merancang point dalam muqadimah dan penutup
* Berlatih menyebut bahan-bahan yang dikumpul dengan nada pidato dan gaya.
* Mengawal kegugupan.

~Pemidato yang berpengaruh
* Ikhlas dalam meyampaikan pidato.
* Yakin dengan kandungan dan isi bicara yang diungkapkan.
* Berpengetahuan luas dalam tajuk yang diucapkan.
* Mahir dalam berkata-kata.
* Peka dengan reaksi audien dan situasi persekitaran.

~Kaedah berlatih pidato
* Pastikan setiap hari diberi masa untuk latihan berucap.
* Berlatih berucap dan mengulangi isi-isi penting 3 hingga 5 kali sebelum berpidato
* Hafal susunan tajuk dan fakta penting tanpa menghafal teks
* Berlatih menggunakan mental dahulu.
* Menulis tajuk dan fakta dinota untuk memudahkan rujukan.
* Jangan terlalu mementingkan bahasa dan gaya badan.
* Menyatupadukan nada suara mengikut tajuk penyampaian.
* Sebaik-bail dirakam suara semasa membuat latihan.

~Kaedah suara dan bahasa badan
* Suara mendatar ( suara dada dan tekak)-pada ketika ini pemidato tidak perlu untuk menggayakan bahasa badannya.
* Suara pertengahan (suara hidung)-pemidato sudah mula menggunakan bahasa badan dan gaya badan pada ketika ini tidak boleh dipamerkan dengan keterlaluan.
* Suara kuat (suara otak, suara hidung bagi sesetengah pemidato)-pemidato perlu memastikan kelajuan sebutan adalah sama dengan tingkatan suara.
* Pemidato perlu meraikan ulangan sebutan mengikut nada suara dan menggunakan gaya badan yang sesuai.
* Pemidato mesti berlatih untuk menyepadukan gaya badan (penampilan diri, posisi tubuh, pergerakan tubuh dan juga pergerakan tangan) dan bahasa badannya (mimik muka, gerakan kepala dan hubungan mata) dengan cemerlang kerana perkara tersebut membantu melancarkan ucapan dan menyesuaikan nada pada tempatnya.

### Ini biasanya dihadapi oleh semua orang. Cara mengatasinya...###

Membasmi kegugupan
1) Punca gugup
* Pemidato kurang mahir atau kurang berpengetahuan.
* Pemidato tidak bersedia
*Audien yang disegani
*Tidak biasa berucap

2) Symptom gugup
~Psikologikal
*Tidak berani bertentang mata,bimbang lupa, takutkan audien-tarik diri dari berucap.

~Fisiologikal
*Ketar lutut, berpeluh tapak tangan, jantung kencang,tubuh kaku suara jadi lemah,bunyi pecahan suara-sesak nafas pitam.

3) Teknik mengawal gugup
~Sebelum berpidato
*Membuat persedian tajuk dengan baik dan berlatih
*Analisa audien
*Senaman ringkas(gerakan jari jemari dan tarik nafas)
*Pastikan mental dan fizikal dalam keadaan relax
*Yakinkan diri bahawa pidato ini adalah yang paling baik
*Membaca doa-doa sebelum berpidato

~Semasa berpidato
*Pilih audien atau lokasi yang dapat membantu dari kegugupan diawal pidato
*Melafazkan ucapan secara satu persatu dan thoma'ninah
*Menggerakkan tubuh badan
*Berlagak seperti yakin walaupun dah gugup
*Jangan panik bila tersasul

### Saya mengharapkan moga ianya membuahkan sesuatu buat kita.###

Saturday, March 10, 2007

InspiRasi DaRi Dia

Asy-Sahid Hassan Al-Banna pernah menuturkan:
"Usah kau biarkan sehari pun berlalu dari hidupmu tanpa bekerja untuk Islam"
Selamanya, abadikan diri sebagai pedusi yang memangkin perjuangan si pejuang. Dunia sementara ini bukan lagi ruang untuk saling mencipta alasan. Kerana,
~ kau bakal pergi. Lalu apakah sudah kau bayar semua nilai dari modal hidup yang kau
pinjam?
~ kau hanya punya satu nama. Lalu kau yang pilih mahu meninggalkan nama seharum
Humaira-Sahmura nubari Rasulullah atau isteri Abu Jahal yang dengan namanya telah
bersumpah padah?...


~###~###~###~
Syed Qutb pernah meriwayatkan :
'Iman adalah satu hakikat yang mempunyai tugasannya, suatu amanah yang mempunyai beban tanggungjawabnya, suatu jihad yang memerlukan kesabaran dan suatu perjuangan yang memerlukan ketabahan.'

Thursday, March 8, 2007

BanGuN!

Radang hati
menimbang dua kata
menilai kata dua
resah amanah galas
atau santai rehat
adakala usaha lenyap
lantaran goyah rancang
lemah sejeda
mahu menangis
tapi hati kuat tahan
akal terus berfikir
lambat ketemu punca
kerna ilmu landai
penat
akal hati jua perasaan
tak seiring
bercanggah dalam satu
iman kata
dahulukan iman
hapuskan alunan syaitan
lawan !
jangan putus asa
bangun!
ledakkan kekuatan.

Sunday, March 4, 2007

noktah permulaan

Semalam saya dilamar untuk menjadi fasilitator untuk program Kolokium Ilmuan(Q)PMRAM. Amanah ini tertanggung sehinggalah ke akhir siri Q nanti. Pada mulanya saya menimbang tara untuk menerimanya memandangkan diri ini tidaklah sea'lim mana. Tapi akhirnya saya bersetuju kerana inilah peluang yang saya nanti-nantikan. Peluang hanya datang sekali jadi saya mesti mengambil peluang keemasan ini. Walaupun pada pandangan orang lain mungkin ia perkara biasa tapi bagi saya disinilah permulaannya. Saya perlu bersedia segala menghadapi kemungkinan.
Hari ini saya mencuba sebaiknya dan saya amat berharap agar apa yang saya lafazkan sampai maksudnya ke hati adik-adik. Saya tak kisah jika ada adik-adik mengatakan saya Fasi yang paling tak best tapi saya dah cuba usaha sedaya saya. Jika ada kekurangan akan saya jadikan sebagai batu loncatan untuk saya lebih terkehadapan. Saya ingin maju!
Alhamdulillah,banyak input yang saya dapat hari ni. Dengan tema 'Memperkasa Generasi Ulama' dan langsung diisikan dengan perbentangan kertas kerja iaitu" Syahadah Dan Tuntutannya","Tarbiyah Ruhiyyah Dalam Membentuk Generasi Berwawasan" dan diskusi kitab "Maza Yakni Intima'i Islam.
InsyAllah jika ada kelapangan waktu saya akan selitkan ilmu yang saya dapat disini. Tak rugi kita berilmu...

Tuesday, February 27, 2007

Pesanan Buat Pedusi!

DIA diadikan dari tulang rusuk seorang anak Adam, akan bertambah bengkok jika dibiarkan sendirian dan akan mudah patah jika paksa ditegakkan. Hakikatnya dia dibelenggu dengan sifat kelembutan jua begitu aya dengan nilai kasih sayang. Dia itulah gadis remaja dia itukah isteri dia itulah ibu dan dia itulah... seorang wanita. Mengitari kehidupan seorang wanita mendambakan pemeliharaan yang bukan sekadar ambal bahkan berhajatkan pengawasan yang begitu teliti dan kejab. Hati dan perasaan wanita perlu dijaga rapi supaya segala perilaku yang dizahirkan darinya tidak hanya bersemangatkan emosi semata. Janganlah emosi didahului daripada akal jua keimanan kerana emosi adakalanya datang dari hasil tusukan tajam syaitan laknatullah. Sulamilah tingkah laku yang ditunjangi rasa buah ketaqwaan kepada Pemilik Yang Maha Agung.

Sedarilah wanita, awasilah dirimu dari terpalit sebarang panahan fitnah. Seorang wanita saat melangkahkan kaki keluar dari kediamannya pasti akan dihidu oleh fitnah. Setiap lenggang-lenggokmu jika tidak dihiasi dengan akhlak iman pasti akan mengundang seribu satu fitnah. Bahan fitnah membawa kecelakaan dalam ruang lingkup hidupmu. Sesungguhnya Nabi ada menyebut tentang bahayanya fitnah darimu " Tidak ada fitnah yang lebih besar dan lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain dari fitnah yang berpunca dari wanita".

Begitu dahsyat penangan seorang wanita sehinggakan fitnah yang dibawa terpercik dibenteng jiwa seorang lelaki. Realitinya bukan fitnah iu berpunca dari semua wanita tetapi fitnah ini merajai wanita yang dirinya menjadi baja yang menumbuhkan dan menyuburkan nafsu keinginan dalam jiwa lelaki. Dirinya mempunyai daya tarikan yang mengecas hati seorang lelaki untuk membuat perkara yang dilarang oleh Alah Taala. Begitu juga wanita yang sengaja melunakkan bicaranya pada pendengaran lelaki. Hati lelaki yang berpenyakit dan tidak berhati-hati pastinya dalam mengemudi perasaan sendiri pastinya akan teruja dengan sikap wanita yang sedemikian. Allah memperintaka didalam surah Al-Ahzab ayat 32 : "Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada pengakit dalam hatinya dsan ucapkanlah perkataan yang baik."
Duhai wanita, beratilah dan timbang-taralah budi bicarmu supaya ia tidak mengigaukan khayalan kaum Adam dan janganlah kau gunakan lembut suaramu itu sebagai senjata untuk menggugah keimanan kaum Adam.

Dedikasi buat wanita, peliharalah pandangan matamu kerana dari mata turun ke hati. Hebatnya pandangan seorang wanita beserta dengan hasrat hati yang mana pandangan itu terpancar dalam sinar matanya. Lantaran itu wanita sorotlah matamu supaya tidak bertamu dalam atma lelaki. Ingatlah ciri-ciri seorang wanita yang solehah itu ialah dia tidak melihat kepada lelaki dan lelaki juga tidak melihat kepadanya. Benarlah kalam Allah Yang Maha Suci dalam jalinan surah An-Nur ayat 31 yang menyebutkan : "Katakanlah kepada wanita yang beriman hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah merekja menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya".

Duhai wanita generasi mujahidah, persiapkan dirimu melengkapkan diri dengan balutan ilmu agama agar dirimu tidak menjadi bahan fitnah dunia lelaki kerana kejahilan yang tidak dikau teladani.

Justeru itu diri mana yanag merasakan jiwanya seorang wanita, cubalah untuk menjauhi fitnah yang berpunca darimu. Janganlah dirimu menjadi penyebab kaum Adam mendapat kemurkaan dari Allah Taala dan dirimu juga tersungkur lemah didalam neraka jahannam. Biarlah dirimu wanita yang menjadi penguat iman kepada kaum Adam yang akan bersama-sama berganding bahu menjulang syariat Allah di muka bumi ini.

SeMaLam YanG PerGi

Usai Muktamar Thanawi PMRAM 07',terlerai sudah amanah yang digalas pimpinan. Bukan mudah menjadi pimpinan besar dalam masa yang sama amanah pertama menjejakkan kaki di bumi anbiya' ni Moga bidayah amanah Badan Pengurus dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Hewi PMRAM medapat payungan hidayah dari Allah Taala. Semalam yang berlalu, telah menoktahkan citranya. Hari ini derapan pimpinan baru memulakan langkah pejuang. Saya doakan mereka akan terus tabah menghadapi dunia kepimpinan yang mendatang. Sirru ala barakatillah.

Wednesday, February 21, 2007

amanah

Bila diri dipundakkan dengan tanggungjawab dan amanah barulah dapat menghargai nilainya satu saat. Akal ligat menyusun taqwim bagi melicinkan gerak kerja, namun adakalanya tersasar jua dari apa yang dirancangkan...Ku berserah kepada Allah atas segalanya.

Monday, February 12, 2007

RiPuH

Terasa lama tak balik 'rumah' rasa rindu pun ada. Tapi mutakhir ini saya agak kesibukan dengan amanah yang ditaklifkan. Kelmarin baru usai walimah yang disambut di Wisma Darul Ridzuan, dua mempelai telah selamat diraikan dengan meriahnya. Orang Perak terima dua menantu perempuan seorang dari Pulau Pinang dan seorang lagi dari Negeri Sembilan..Memang penat tapi kenangan itu menjadi pengalaman paling berharga semusim permusafiran saya disini. Oh, saya perlu mengejar masa, ia terlalu jauh berlari meninggalkan saya dan saya seharusnya lebih pantas berlari untuk bersamanya.

Tuesday, February 6, 2007

bicara hati dia untukku

Ukhti Fillah...Firman Allah Taala S.W.T yang bermaksud "boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu"..."Orang beriman apabila ditimpakan ke atasnya sesuatu musibah, dia berkata : Inna lillahi wa inna ilahi raji'un". Andai hari ini mendung dan mungkin juga hujan hadir dalam hidupmu, jangan dilupa pada jaluran indah warna sang pelangi yang hadir selepasnya. Ketahuilah, walau pelangi yang hadir suram warnanya jangan jadikan ia halangan untuk merealisasikan keceriaan jaluran warna pelangi impian hidupmu...jalurkanlah ia dengan Kalamullah, warnakan ia dengan usaha yang bukan sedikit titipkanlah doa yang berterusan letakkan sepenuh pergantungan pada Allah S.W.T. Sememangnya bukan mudah meletakkan sabar dalam kotak kehidupan jua bukan mudah malaksanakan kekuatan diri dalam jalur pengalaman. Namun...tiada yang mustahil bagi manusia yang beriman...
Sahabat untuk akhirnya...biarkan masa lalu ibarat setitik noktah pada sehelai kain putih. Kita masih berkesempatan untuk menghapuskannya meskipun tiada siapa yang mampu menongkah arus takdir yang menjadi suratan, namun takdir dan suratan bukanlah mutlak kerana kita masih mampu berdoa untuk menghindar segarit kehampaan bagi merasai titisan bening airmata pagi...


p/s :Tiada kata yang dapat kulafazkan diatas ketulusanmu membantu diriku memberi semangat buat jiwa ini...kulalui waktu yang teramat payah dulu dan kini masih merasai kesulitannya cuma aku yang kadangkala tidak pandai mengambil peluang dalam kesempitan...Terima kasih sahabatku!

Sunday, February 4, 2007

SeMalaM DaN HaRi InI

SEMALAM adalah pengalaman yang bermakna dalam hidup saya...seusai Asar saya berconference dengan penulis-penulis mapan tanah air. Abang Faisal Tehrani adalah fasi saya dan juga adik-beradik yang lain. Ia adalah gabungan karyawan luar negara yang mengumpulkan penulis-penulis dari pelbagai negara. Memang seronok hari itu. K.Nisah Haron juga turut menyertai setelah dia berconference dengan anak-anaknya. Saya jadi terlalu kerdil bilamana bersua dengan mereka. Bergunung-gunung pengalaman mereka...ilmu mereka diluahkan disetiap kata...Itu membuatkan saya semakin bersemangat untuk terus mengasah pena..

HARI ni dengan izin Allah saya berpeluang menjenguk adik-adik Tibb(Perubatan) disini. Mereka bermukim di Abu Rish berdekatan dengan maqam Saidatina Zainab. Dik Balqis, dik Jalilah, dik Naimah, dik Maryam, dik Nattrah terima kasih diatas layanan dan hidangan yang disajikan...kamu semua ceria-ceria belaka. Moga ukwah yang terjalin akan terus erat dan utuh...

Wednesday, January 31, 2007

telinga teman hati

telinga kawan hati
dalam diam dia sentiasa mendengar
suka duka sang hati keluh kesahnya
akal bijak mengimpuls seru hati
dia tak pernah merungut
jemu kata hati
dia tak pernah marah
kerana hati yang banyak kata
dia terima tanpa paksa
kerana dia bukan tuli
dan dia juga tahu
hati bukan bisu
adakalanya
dia mendengar hati ketawa
lalu terukir senyuman
adakalanya
dia mendengar hati merintih
lantas turun airmata bening
telinga dan hati
saling berpesan
tetapi akan terhenti
bila telinga tidur
hati pun diam
esoknya jika ada umur
tetap bersapa lagi
begitulah nanti
selagi akal bertindak
selagi telinga tak pekak
selagi hati tak mati
dan yang pasti
selagi ada nyawa.

Tuesday, January 30, 2007

mangsi kakak

Rimba rinduku
tiada noktah
tiada alunan
bak semilir senja
berdesir
hangat
kian parah
membarah
direlung hati
padamu


P/s : Nukilan ni mangsi dari hati seorang kakak...kalau tuannya ada terbaca harap tak marah ye asaya jadikan n3.

berbunga hati

HATI ni berbunga-bunga bila baca catatan dari kak seri...thanks kerana menolong saya tawar -menawar dalam urusan membeli sebidang tanah...hati ni memang kempunan pada tanah tu dan alhamdulillah dah pun memilikinya...Puas dah mata ni menjamu keindahan kebun orang, sekarang ni saya dah ada tanah nak berkebun pula, insyAllah saya akan menyemai benih, membaja, menggembur dan seterusnyalah...kalau ada cadangan nak mengindahkan laman saya ni silakanlah, tafaddhal...

Saturday, January 27, 2007

Bidayah

ADAKALAnya apa yang diinginkan tidak semestinya dipenuhi mengikut kehendak hati. Pastinya ada kekurangan yang tersimpan. Hakikatnya setiap sesuatu tiada kesempurnaan kerana kita diciptakan bukannya pencipta hanya Dia Yang Maha Sempurna. Realiti manusia mahukan segalanya bagaikan dialam fantasi, tiada kekurangan hanya kesempurnaan TAPI ingatlah kita adalah manusia yang asal perkataan manusia adalah 'nasia' beerti lupa. Lantaran itu kita dididik untuk menerima kelemahan orang dan memperbaiki kelemahan sendiri. Jadi usahlah menyalahkan insan lain andai diri masih belum berupaya untuk berubah kepada yang lebih baik.

Friday, January 26, 2007

Ahlan

Dengan lafaz 'bismillahirrahmanirrahim' ku mula mengatur jemari seni...

Berdoalah...