Bacaan Doa Awal Tahun dan Akhir Tahun.
Oleh : Ustaz Syed Abdul Kadir al Joofre
Terbaca di beberapa blog dan forum baru-baru ini, memandangkan hampirnya kita memasuki tahun baru Hijrah, berkemundang sekali lagi seruan bahawa bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun merupakan satu bid'ah yang jelas haram di sisi Islam. Benarkan apa yang dihebohkan ini? Kalau benar mengapa saban tahun setiap jabatan agama negeri tidak pernah menghalang sambutan ini? Adakah tok mufti dan semua ustaz yang berada di setiap jabatan agama ni bersekongkol dalam kesesatan? Sama-sama kita kaji..
Biasanya apabila kita tidak mengetahui asas bagi satu masalah, maka kita akan mudah membuat keputusan yang salah. Asas dan sebab bagi satu masalah merupakan kunci bagi kita untuk mendapatkan jawapan bagi masalah tersebut. Di sini kita perlu mengkaji dua masalah. Mengapa dibaca doa akhir dan awal tahun. Seterusnya mengapa pula satu golongan lagi cuba untuk mengharamkan perbuatan ini.
Asas pendapat pertama kita lihat dari sudut amalan para ulamak berkurun lamanya bukan sahaja di nusantara malahan di banyak lagi tempat di dunia, yang mengamalkan berdoa di akhir dan awal tahun. Apakah asas mereka? Jawapannya yang ringkas, bukankah kita semua mengetahui bahawa beredarnya bulan dan tahun ini merupakan tanda kekuasaan Allah? Maka tidak layakkah kita sebagai hamba yang lemah memuji Allah apabila kita memerhatikan kebesaranNya? Seterusnya, bukankah molek kalau kita akhiri akhir tahun kita dengan memohon ampun atas kesalahan kita sepanjang tahun lalu, dan seterusnya memulakan awal tahun baru, dengan berdoa kepada Allah agar tahun yang mendatang dipenuhi rahmah dan maghfirahNya? Doa itu senjata mukmin. Maka gunakanlah senjata ada sebaik mungkin.
Asas pendapat kedua. Bid'ah dholalah (atau kata mereka bid'ah secara mutlak) adalah mengadakan sesuatu yg baru yang tiada asasnya langsung dalam agama. Itu kata kita. Ada di kalangan mereka yang menyalah erti bahawa bid'ah adalah sesuatu urusan agama yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Namun sangkaan ini amat tersasar dari kebenaran berdasarkan terlalu banyak dalil menunjukkan keharusan perkara dalam agama yang tidak dilakukan oleh Rasulullah seperti menghimpunkan Al-Quran dan azan solat jumaat sebanyak dua kali yang dilakukan oleh Saiyidina Usman. Maka diistilahkan pula oleh Imam Syafie dan para mujtahidin yang lain perkara ini sebagai bid'ah hasanah. Malah diklasifikasikan pula oleh Imam Nawawi bid'ah kepada 5 hukum taklifi yang ada. Mereka kata klasifikasi ini klasifikasi dari sudut bahasa, namun jika kita kaji bid'ah dari segi bahasa bukanlah yang dimaksudkan oleh Imam Syafie dan yg lain, tetapi bid'ah dalam agama.
Apapun yang diistilahkan kita sepakat mengatakan bahawa perkara yang dibaharukan yang tiada asasnya langsung dalam agama hukumnya haram dan bid'ah yang dholalah. Nah, sekarang mereka membuat pula satu kaedah. Jika satu ibadat itu dilakukan pada satu waktu tertentu atau hari tertentu atau bilangan tertentu tanpa ada hadis yang warid dari Rasulullah s.a.w. maka ianya dikira sebagai bid'ah (baca bid'ah dholalah) dan haram. 2 asas inilah yang dipegang menjadikan bacaan doa akhir dan awal tahun sebagai haram.
Maka apa pula komentar bagi kedua-dua hujjah kedua-dua golongan ini ya?
Perbincangan bagi hujjah pendapat yang pertama. Dikatakan bahawa memuji Allah apabila memerhatikan kebesaran-Nya. Benar. Namun cara kita menunjukkan pujian dan bersyukur itu perlukan petunjuk dari Allah dan Rasul-Nya s.a.w. Bukannya mengikut fikiran kita semata-mata. Adakah berdoa tersebut cukup untuk menghapuskan segala dosa yang berlaku di sepanjang tahun. Kalau begitu mudahla, Buat dosa banyak-banyak. Akhir tahun doa jelah. Lagipun kalau doa ni pun da bid'ah dan berdosa, sebenarnya bukan hapuskan dosa tapi tambahkan dosa lagi.
Jawapan kepada perbincangan ini. Cara kita menunjukkan pujian dan bersyukur adalah diharuskan selagi mana tidak melanggar syara'. Sebanyak mana pun kita bersyukur takkan cukup dengan nikmat yang Allah beri. Lagipun kita bukan bersyukur mengikut fikiran kita semata-mata, tetapi berdasarkan kepada petunjuk Allah dan Rasul-Nya jugak kan. Bukankah berdoa ini satu cara yang ditunjukkan dan diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Bukannya kita sambut dgn konsert atau pertunjukkan bunga api.
Berkenaan doa boleh menghapuskan dosa atau tidak tersebut, urusan tersebut diserahkan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang memerintah kita supaya berdoa dan Dialah yang memakbulkan doa dan mengampunkan dosa. Ini merupakan usaha kita yg diperintah oleh-Nya. Hujjah buat dosa banyak2 kemudian berdoa adalah hujah yang dangkal, kerana tiada siapa yang mengetahui selama mana hayatnya. Juga ia seolah-olah mempermain-mainkan mereka yang berdoa setiap hari agar diampunkan oleh Allah. Mengapa tidak tunggu tua sahaja baru berdoa. waktu muda buat dosalah banyak2. Hujah yang amat cetek dan tidak perlu dihiraukan, tetapi perlu dijawab kerana banyak antara mereka yang cetek ilmu, tapi mengaku berilmu. Semua kita sepakat bahawa melakukan perkara yang dilarang oleh syarak secara pasti dan mesti adalah haram. Jadi mengapa perlu dipersoalkan perkara begini. Tetapi kita sebagai manusia yang tidak maksum pasti tidak akan lari dari kesalahan. Jadi kita perlu dari masa ke semasa meminta pengampunan dari Allah s.w.t. Niat melakukan dosa dengan harapan berdoa di waktu lain agar diampunkan adalah niat yang jelas salah dan terlarang.
Perbincangan hujjah pendapat yang kedua pula.
Perbincangan hujjah pendapat yang kedua. Apakah asas-asas yang diiktiraf dalam menentukan hukum dan adakah doa ini tiada asasnya langsung dalam agama? Para ulamak telah berselisih dalam perkara ini, namun mereka sepakat menentukan bahawa Al-Quran, Assunnah, Ijma' dan Qias secara umumnya adalah asas dalam menentukan hukum. (kecuali beberapa ulamak zahiri dan syiah yang menolak terus qias). Mereka pula hanya menganggap Al-Quran dan Assunnah dan ijtihad para mujtahidin berdasarkan dua sumber ini merupakan asas. Walaubagaimanapun kedua-dua masalah ini tidakla jauh bezanya jika difahami dengan betul. Jadi persoalan sekarang adakah di sana asas bagi doa ini dibaca?
Secara ringkasnya asas bagi berdoa secara umumnya adalah ayat-ayat Alquran dan Assunnah yang terlalu banyak menerangkan perintah berdoa tak kira masa dan tempat. Perintah2 ini tidak boleh kita khususkan kepada doa yang warid dalam alquran dan sunnah semata-mata, kerana ia dikira sebagai mengkhususkan sesuatu yg umum tanpa pengkhususnya. Selain itu warid dari Hadis2 dan asar para solihin keharusan berdoa selain dari yg warid mengikut keperluan kita asalkan tidak bercanggah dengan syarak.
Asas seterusnya dalam berdoa ini adalah berdasarkan maslahah (yang juga sumber perundangan hukum islam). Maslahah yang rajihah (yang boleh diguna pakai) dalam perkara ini ditentukan oleh para ulamak terdahulu bukan menurut pemikiran kita semata. Maslahah ini lebih jelas di zaman kita yang mana ramai di kalangan masyarakat kita sudah jauh dari ajaran Islam dan tidak reti berdoa lagi. Malah di tahun baru ini pun mereka tanpa segan silu membuat kemaksiatan. Bukankah molek jika kita menyeru mereka berdoa di waktu begini?
Jadi apabila ada asas-asas yang disebutkan maka kita tidak boleh menyebut amalan berdoa ini sebagai satu perkara bid'ah yang sesat. Malah boleh kita masukkannya di dalam bid'ah hasanah yang disebutkan oleh Imam Syafie.
Mereka juga menyatakan bahawa sesutu ibadat seperti zikir dan doa itu perlu menyamai Rasulullah dari sudut bilangan, masa, hari dan tempat. Sesuatu yang bercanggah dengan salah satu darinya adalah haram. Kita pula menjawab, di manakah dalil kepada penyataan ini? Ulamak terdahulu tidak pernah membuat kaedah sebegini. kaedah yang ada adalah, ibadat tidak menyalahi dari apa yang Rasulullah tunjukkan. Jangan Rasulullah bersolat subuh 2 rakaat kita bersolat 3 rakaat, kerana nak pahala lebih. Itu yang salah. Adapun berdoa dan berzikir di waktu yang tidak warid Rasulullah berzikir pada waktu tersebut adalah tidak diharamkan. Kerana Rasulullah sendiri sentiasa berzikir dan berdoa. Selain itu perintah berzikir berdoa tidak pernah mengkhususkan masa dan tempat. Tiada salahnya jika kita hanya mengaji Al-Quran selepas maghrib setiap hari dan memerintahkan pula anak-anak kita berbuat sedemikian, walaupun tidak warid dalam hadis Rasulullah ada mengkhusukan begitu. Itu kita sepakat bukan. Jadi mengapa kita mengkhususkan pula sebelum maghrib akhir zulhijjah untuk berdoa dikira sebagai sesuatu perbuatan yang haram?
Hujjah mereka seterusnya adalah kebaikan sesuatu perkara adalah berdasarkan al-Quran dan As-sunnah. Maka kita katakan bahawa kebaikan berdoa ini juga adalah berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah yang menyuruh kita berdoa tanpa mengira waktu dan tidak pernah pula melarang kita berdoa di waktu2 tertentu. Maka kita simpulkan bahawa berdoa awal dan akhir tahun ini merupakan perkara yang baik menurut syara'. Bid'ah mustahabbah kata Imam Nawawi.
Kesimpulan:
Doa di awal dan akhir tahun merupakan sesuatu perkara yang baik dan harus dilakukan oleh setiap lapisan masyarakat, namun ia bukanlah perkara yang wajib. Anda hendak berdoa, berdoalah di setiap waktu dan ketika. Setiap waktu dan ketika itu termasuk juga padanya doa di awal dan akhir tahun. Berdoalah semoga dosa kita di tahun yg lalu diampunkan dan amalan kita diterima. Jua berdoalah moga di tahun baru ini kita dibantu melawan syaitan, nafsu yang menyeru kejahatan serta dibantu melakukan amal ibadat sebanyak mungkin.
Wallahu A'lam
Wasallallahu 'Ala Saiyidina Muhammad Wa'ala Alihi Wasohbihi Ajma'in, Walhamdulillahi Rabbil 'Alamin
Sunday, December 12, 2010
Perkara sunat yang dikelirukan...
Nukilan Zulfa Hanan at 1:59 AM 0 komen anda disini
Thursday, November 18, 2010
Korban Aidiladha
10 zulhijjah tanggal yang tidak mungkin dilupakan oleh seluruh umat Islam, Aidiladha. Menyingkap sejarah pengorbanan jiwa Nabi Ibrahim a.s kepada anaknya Nabi Ismail. Mana mungkin seorang bapa mahu menyembelih permata hati yang ditunggu selama ini tanpa ada kefahaman ubudiah yang tinggi kepada Tuhannya. Pastinya antara kepentingan diri dan suruhan Allah Taala memerlukan keutamaan yang perlu di dahulukan. Atas nama cinta kepada Allah Taala mengorbankan perasaan sendiri demi menjunjung cinta Ilahi. Begitulah apa yang telah dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. Atas keikhlasan itu Allah menggantikan sembelihan ke atas Nabi Ismail dengan seekor haiwan sepertimana yang kita lakukan sekarang ini. Mendasari nilai yang telah di titipkan oleh Nabi kita seharusnya kita dapat mencontohi apa yang telah di jadikan tauladan sepanjang zaman moga keberkatan sentiasa memayungi kehidupan kita.amin...
Nukilan Zulfa Hanan at 8:58 PM 0 komen anda disini
Tuesday, October 26, 2010
Fiqh Aulawiyat
Selaku pimpinan pastinya banyak perkara yang perlu difikirkan dan di utamakan. Kalau bukan pimpinan pun terkadang kala perlu mengetahui keutamaan dalam menjalani kehidupan seharian. Di sini saya melampirkan fiqh aulawiyat khususnya untuk pimpinan yang saya cedok dari Presiden PMRAM saya sesi ini Selamat Membaca...
FIQH AL-AULAWIYAT
BUAT PIMPINAN MAHASISWA/I
Oleh : Ust. Shahrizan bin Mohd. Hazime
(Presiden PMRAM 2010)
PENDAHULUAN
Islam mengajar umatnya untuk hidup di dunia ini secara berjemaah. Rasulullah SAW tidak hanya menyuruh umatnya melakukan demikian. Akan tetapi beliau meninggalkan cara dan gaya perlaksanaan untuk hidup secara berjemaah.
Justeru untuk mengikut cara hidup Islam, maka terdapat di kalangan masyarakat mereka yang bergelar pimpinan dan mereka yang bergelar rakyat. Setiap golongan ini mempunyai tugasan dan tanggungjawab di posisi masing-masing untuk memikul risalah Islam.
Oleh itu adalah menjadi kewajipan bagi pimpinan untuk mempelajari FIQH AL-AULAWIYAT demi menyusun kerja-kerja Islam yang diamanahkan kepadanya. Sekiranya pimpinan culas untuk memahami ilmu ini, maka akan berlakunya kerugian dari segi masa dan harta.
KEUTAMAAN BAGI KENDIRI
1) Kamu adalah pimpinan mahasiswa/i. Maka tugas selaku pimpinan adalah FARDHU AIN.
2) Tugasan pimpinan adalah fardhu ain yang berbentuk UMUM. Aktiviti yang berbentuk KHUSUS tidak diutamakan walaupun ia adalah fardhu ain.
3) AJKT/HEWI adalah orang pertama yang mengetahui masalah pimpinan. Adalah menjadi kesalahan sekiranya orang lain yang mengetahui terlebih dahulu.
4) Dahulukan akidah dan tasawuf ketika perlaksanaan tugas.
- Sifat IHSAN dalam melaksanakan amanah.
- Sifat ITQAN dalam melakukan gerak kerja.
- Sifat UKHUWAH ketika bekerja.
5) Mengubah sikap dan mentaliti terlebih dahulu berbanding mengubah sistem dan struktur perlaksanaan.
6) Anda adalah AJKT/HEWI dan bukannya ahli. Maka utamakan ilmu pengurusan berbanding ilmu-ilmu yang lain.
KEUTAMAAN BAGI PERSATUAN/PORTFOLIO
1) Keutamaan YDP/Pengerusi/Ketua adalah pada keseimbangan pembawakan persatuan. Adalah menjadi kesalahan sekiranya tindakan hanya tertumpu pada beberapa pihak sahaja.
2) Keutamaan AJKT/HEWI adalah pada FOKUS gerak kerja masing-masing dengan tidak mengabaikan masalah AJKT/HEWI yang lain.
3) Utamakan hak-hak persatuan berbanding hak-hak individu.
4) Anda adalah pimpinan mahasiswa/i. Justeru ketika pengucapan umum, anda WAJIB menyebut pembawakan dan prinsip persatuan berbanding pembawakan dan prinsip peribadi.
5) Sebagai pimpinan, BEKERJA adalah lebih utama berbanding bercakap. Jadikan diri anda dikenali dengan kerja yang dilakukan bukan dengan kemasyhuran.
6) Mengutamakan kefahaman tugasan portfolio berbanding hafalan tugasan semata-mata. Hafalan hanyalah wasilah untuk mencapai kefahaman.
7) Web dan blog rasmi persatuan adalah lebih utama bagi kamu untuk mengemaskini berbanding blog dan facebook peribadi.
KEUTAMAAN BAGI AKTIVITI/PROGRAM
1) Ketika melaksanakan program dan aktiviti, utamakan kualiti berbanding kuantiti.
- Terdapat 3 matlamat utama perlaksanaan program iaitu :-
a. Nilai ukhuwah
b. Nilai Kebajikan
c. Nilai wajah Islam yang sebenar
- Prinsip pimpinan yang berkesan ialah “banyak tidak semestinya BAGUS, sikit tidak semestinya LEMAH”.
- FOKUS adalah senjata utama bagi pembawakan pimpinan yang berkesan.
2) Utamakan kebaikan (maslahat) yang berbentuk umum berbanding kebaikan yang berbentuk khusus. Buku ETIKA PMRAM adalah panduan bagi kebaikan yang berbentuk umum.
3) Utamakan intipati (jauhar) program dan aktiviti berbanding rupa luaran (syakal).
4) Bukanlah orang yang bijak mereka yang mampu membezakan antara kebaikan (maslahat) dengan keburukan (mafsadah). Akan tetapi orang yang bijak ialah mereka yang mampu membezakan antara 2 kebaikan atau 2 keburukan,
5) Menolak keburukan (mafsadah) adalah lebih diutamakan daripada melaksanakan kebaikan (maslahat).
PENUTUP
Bagi menjadi pimpinan yang berkesan kepada rakyat, maka Islam menetapkan 2 elemen penting yang perlu diterapkan dalam diri iaitu BERSEDIA UNTUK BERUBAH serta MENJADI AGEN PERUBAH. Ketidakseimbangan elemen tersebut dalam jiwa pimpinan bakal melahirkan pimpinan yang menyesatkan rakyat. Hasil yang diperolehi adalah tidak sempurna.
Oleh itu jadilah pimpinan sepertimana yang telah digariskan oleh Islam. Anda adalah golongan yang berjiwa besar. Selamat datang ke dunia yang penuh cabaran !!!!.
Nukilan Zulfa Hanan at 7:14 PM 0 komen anda disini
Monday, October 4, 2010
Bacalah pencinta Tuhan
Membaca…Apabila disebut membaca kebanyakan manusia di dunia ini mampu dan boleh untuk membaca. Boleh di kira dengan jari hanya segelintir dari kalangan manusia yang tidak tahu membaca. Persoalannya adakah kita membaca banyak kitab tanpa mengetahui makna tersirat di sebaliknya atau kita mampu menimba pengajaran dari bahan yang dibaca? Sejauh mana kitab yang dibaca mampu mentarbiah diri kita selaku pembaca?
Firman Allah Taala di dalam Al-Quran :
اقرأ باسم ربك الذي خلق * خلق الأنسن من علق *اقرأ وربك الأكرام*الذى علم بالقلم*
“ Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan. Telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu amat Pemurah.Yang mengajarkan (menulis) dengan pena.”
Allah menyuruh kita membaca supaya kita dapat mengenal Dia sebagai pencipta. Siapakah Dia? Dialah Tuhan pentadbir alam. Menciptakan manusia dari pemulanya hanya dari setitis sari pati mani. Sehinggalah ia menjadi segumpal darah lalu membesar di dalam kantung ibu yang cukup selesa dan selamat. Di dalam manusia ada manusia. SubhanAllah!
Bacalah! Umat Islam yang membaca umat yang berjaya…
Nukilan Zulfa Hanan at 4:17 PM 0 komen anda disini
Saturday, August 28, 2010
Dahsyatnya sebuah doa
Firman Allah Taala :
أدعونى استجب لكم
" Berdoakah kepadaku nescaya aku perkenankan bagimu"
Apakah sebab yang menguatkan untuk kita berdoa?Adakah kerana kita ingin Allah menunaikan segala impian dan hasrat kita? atau kita berdoa kerana tidak mahu di gelar manusia yang sombong?
Dari sumber menjelaskan bahawa berdoa ada kekuatan dan manfaatnya. Diantaranya ialah :
1) Berdoa adalah ibadah
Apabila berdoa merupakan satu ibadah maka melakukannya mendfatangkan pahala.
2) Berdoa adalah zikir
Kita berdoa dengan menyebut nama agung Allah Taala dan berselawat kepada baginda dan doa-doa sampingan lain merupakan zikir. Tatkala hati dan bibir kita berzikir naluri dan fikiran kita akan menjadi tenang.
3) Berdoa adalah mulia di sisi Allah
Sabda Nabi SAW bahawa tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah Taala melainkan doa.
4) Berdoa adalah jati diri kita
Apabila kita berdoa kita yakin bahawa tidak ada sesiapa yang boleh memakbulkan doa kita kecuali hanya Allah Taala.
Justeru, saya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat untuk sama-sama kita berdoa tidak kira siang atau malam bahkan setiap hembusan nafas kita perlulah lazimi doa. Kita tidak akan rugi sedikit pun kalau kita banyak berdoa. Berdoalah dan mintalah sahabat-sahabat kita malahan ibu bapa kita mendoakan kita. doa ibu bapa teramat tajam buat kita selaku anak. Ulama menyimpulkan bahawa doa ibu bapa umpama doa Nabi kepada umatnya. Mintalah doa kepada ibubapa selagi mereka ada dan janganlah menyesal kerana telah kehilangan doa seorang ibu...
Nukilan Zulfa Hanan at 3:02 AM 0 komen anda disini





