CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, February 22, 2008

Sesuatu Dari Hati
Oleh Nor Azlina Idris


Thabit Bin Zuhair pernah mencoretkan :

“ Seseorang tidak akan gagal
selagi ia serius berusaha
Segala urusan yang sulit atau yang remeh
Dapat ditangani dengan baik
Orang yang memiliki prinsip
Adalah orang yang tidak hanya menerima perintah
namun ia punya orientasi sendiri
dan memiliki visi yang jelas
Itulah orang pilihan
Yang hidup bukan sebagai pecundang
Meski kesempatan telah tertutup baginya
Semangat di dalam dada akan tetap terus berkobar”.


Saya meneladani hasil tulisan Dr. Aidh Bin Abdullah Al-Qarni di dalam kitabnya yang masyhur ‘ La Tahzan’. Kata-kata beliau saya terapkan dalam hati supaya ianya menjadi penawar dikala saya kesedihan dan pabila diterjah dengan pelbagai kesulitan yang datang. Bukan semudah yang disangka untuk menghindarkan diri dari perasaan yang sebegini. Kadang-kadang kita perlukan sesuatu untuk menaikkan semangat dalam diri selain kita perbanyakkan istighfar dan berdoa, manfaat buku jua memainkan peranan yang cukup bermakna.

Sememangnya mudah untuk melafazkan kata akan tetapi begitu payah untuk melaksanakannya walhal ianya bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai sekiranya sabar itu cekal di dalam hati. Tambahan pula kita semua adalah pimpinan yang Allah telah maktubkan dalam kitab-Nya yang Agung lantaran bermaksud :’Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah dimuka bumi ini.” Siapa khalifah tu? Kitalah orangnya. Seorang teman pernah berpesan kepada saya katanya : Pemimpin adalah seorang dapat mengubah kelemahan menjadi kekuatan, rintangan menjadi batu pijakan dan petaka menjadi kemenangan. Semangat perlu dipugarkan moga ianya tidak terus pudar akibat waktu yang pantas berlalu. Kiranya kita lemah dalam mentadbir satu amanah yang terpundak dibahu kita ini bagaimana mungkin kita mampu untuk menggalas amanah yang telah tersedia kepada kita selaku khalifah-Nya.

Teringat saya salah satu kalam azimat Syed Hassan Al-Banna dari 10 wasiatnya iaitu kewajipan lebih banyak dari waktu yang ada, jadi sebolehnya ringkaskanlah usah berlengah-lengah supaya dapat melaksanakan amanah yang lain pula. Jangan kita lupa bahawa setiap kita adalah berbeza-beza, lazimilah rangkaian nasihat pesanan moga-moga tanggungjawab dakwah tidak tersekat disebabkan kita yang tersungkur di pertengahan jalan. Cepatlah bangun usah menoleh lagi dan maju kehadapan, dan peranan sahabat raih dan pimpinlah tangan yang tekulai itu. Tinggalkan kenangan-kenangan duka binalah impian-impian indah dan berusahalah mencapainya. Kejayaan bukan dicipta dalam sekelip mata sepertimana tersirat dalam bicara hikmah ‘Rom tidak dibina dalam masa satu hari’.

Berikan ruang pada diri untuk berubah, percaya akan kudrat akal yang Allah anugerahkan buat setiap makhluk-Nya. Ya kita mampu untuk melaksanakannya andai kita berjaya menempis kekalutan putus asa. Yakinilah, Allah sekali-kali tidak akan mensia-siakan hamba-Nya yang berusaha tanpa membuang sabar. Buat sahabat-sahabat seperjuangan, mulakan sekarang jangan nanti-nanti, kerjakan berterusan dan doa saya telus mudah-mudahan kita beriringan bersama. Andai kita mahu bersama Rasulullah diakhirat kelak, laksanakan dan sambunglah apa yang telah baginda lakukan. Rasullullah mengharapkan kita dan usah kerana kelalaian kita Rasulullah menangis pilu mengenangkan ummati...ummati...ummati...

Saya akhiri perbicaraan hati ini dengan bait syair yang saya kira memberi inspirasi kepada saya, dengarkanlah...

‘Kau merayap meraih kejayaan
Sedang mereka yang berlari
dengan sepenuh hati telah sampai
Mereka berkejaran menuju kejayaan
Hingga kebanyakan mereka merasa bosan
Siapa pun yang bersungguh-sungguh dan sabar
Dapat meraih kejayaan
Jangan kau kira kejayaan adalah kurma
Yang biasa kau makan
Tiada yang dapat mencapai kejayaan
Hingga dia mampu bersabar.

0 komen anda disini:

Berdoalah...

Islamic